Sunday, September 19, 2010

Part 6: Kes Pembunuhan Dato Sosilawati




Kes Pembunuhan Dato Sosilawati: Forensik masih masuki lokasi Sosilawati dibunuh

KUALA LANGAT, 18 Sept — Kenderaan anggota forensik polis masih kelihatan memasuki kawasan lokasi pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya di Ladang Gadong milik suspek utama kes itu di sini.

Tinjauan Bernama berhampiran lokasi berkenaan melihat kenderaan forensik itu memasuki kawasan terbabit seawal pukul 8.30 pagi tadi dan keluar semula beberapa jam kemudian.

Sebuah kereta peronda MPV polis turut ditempatkan di laluan utama iaitu kira-kira 600 meter dari lokasi ladang milik suspek terbabit.

Kesemua kenderaan yang melalui laluan itu ditahan dan disoal sebelum diarahkan berpatah balik dan meninggalkan kawasan ladang.

Petugas media masih terus berkampung di sebuah kuil berhampiran bagi mengawasi dan memantau lokasi pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain yang dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lepas sebelum didapati dibunuh dan dibakar di ladang berkenaan.

Selain petugas media, beberapa kenderaan yang melalui jalan utama turut memperlahankan kenderaan malah ada yang berhenti untuk melihat serta meninjau kawasan berhampiran.


Sementara itu, seorang lelaki yang merupakan pengusaha kantin di sekolah berhampiran dan hanya mahu dikenali sebagai Uncle berkata beliau masih sukar untuk mempercayai kejadian itu berlaku di lokasi berkenaan.

“Ketika hari awal kejadian saya nampak ramai orang saya ingat ada penggambaran filem, tetapi bila baca surat khabar dan tengok televisyen baru saya tahu ada kejadian bunuh,” katanya. — sumber: Bernama



Kes Pembunuhan Dato Sosilawati: Polis siasat kematian Sarina, tentukan kaitan dengan kes Sosilawati

Kelihatan ahli-ahli Persatuan Peniagawati Wilayah Persekutuan hadir ke rumah jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya untuk majlis bacaan Yassin dan tahlil di kediamannya di Gombak


KUALA LUMPUR, 19 Sept — Polis akan menyiasat kematian pengasas Aveer Cosmetics, Sarina Jaafar bagi memastikan sama ada kes tersebut berkait dengan pembunuhan rakan baiknya Datuk Sosilawati Lawiya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata pihaknya akan melihat kes yang berlaku di Pulau Pinang itu daripada semua sudut.

“Apa-apa yang kita dengar, yang berkaitan, kita akan siasat. Kita akan tentukan, bukan sahaja lihat dari satu sudut tapi semua sudut kita akan lihat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri, di Parlimen hari ini.

Sarina, 45, ditemui mati dalam keadaan tergantung di bilik tidurnya di Taman Pauh Jaya, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada pukul 8.30 pagi semalam, dan media melaporkan wanita itu ada memaklumkan kepada anggota keluarga tentang keinginannya menggantung diri.

Dia juga dilaporkan memberitahu keluarga berasa tertekan dan sedih dengan kejadian yang menimpa Sosilawati yang telah disahkan dibunuh bersama tiga individu lain, sebelum mayat mereka dibakar dan abu ditabur ke dalam sungai di Banting, Selangor.

Sementara itu ditanya mengenai desas-desus polis telah melakukan pemeriksaan di pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah dan klinik milik isterinya, Ismail berkata perkara tersebut masih dalam siasatan.

“Siasatan masih lagi berjalan kerana kita mendapat perkembangan baru tentang gambaran yang lain. Apa yang penting, dalam masa terdekat ini kita boleh selesaikan segalanya,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai tujuan pemeriksaan tersebut yang dipercayai dilakukan semalam.

Jumaat lepas, Murugiah telah membuat laporan polis berhubung satu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengaitkan beliau dengan seorang peguam yang menjadi suspek utama kes pembunuhan Sosilawati.

Murugiah sebelum itu memberitahu media bahawa suspek merupakan penyumbang utama hamper dan pelbagai barangan lain yang disampaikan beliau kepada masyarakat Orang Asli pada satu majlis di Banting pada 8 September. — sumber: Bernama

0 comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...