Thursday, August 5, 2010

Masjid Sultan Alauddin, Kuala Langat



Sejarah Masjid

Masjid Sultan Alaeddin ini dikenali juga sebagai Masjid Bandar. Ianya dibina semasa pemerintahan Al-Marhum Sultan (Sir) Alaeddin Sulaiman Shah ibni Al-Marhum Raja Muda Musa, iaitu sultan Selangor yang ke 5 (1863-1938) Baginda merupakan cucunda kepada Al-Marhum Sultan Abdul Samad. Masjid ini telah dibina pada tahun 1905, seiring dengan pembinaan Istana Bandar bersebelahan dengan tapak masjid. Data tentang arkitek masjid ini tidak diketahui.



Lokasi Masjid

Masjid ini dibina di Kampung Bandar (sekarang Kampung Bandar Bersejarah), Kuala Langat, Selangor, lebihkurang 15-20 minit perjalanan dari Pekan Banting

Senibina Masjid
  • Senibina masjid ini mempunyai ciri-ciri rekabentuk campuran India-Muslim dan Islam Timur Tengah. Ianya dikatakan mempunyai pengaruh senibina pemerintahan Deli di Medan, Sumatera Utara.
  • Sekali pandang pada bentuk masjid, ada imbasan arca istana zaman silam dalam cerita-cerita dongeng Aladdin & Kisah 1001 Malam.
  • Banyak pengubahsuaian & tambahan telah dijalankan, terutama sekali pada bahagian dalamannya. Keseluruhan dinding dalaman telah disolek dengan penyudah kayu beralur, manakala sebelah dalam kubah telah dilitupi dengan siling kayu dekoratif, dihiasi dengan motif Kalimah Shahadah & nama-nama Khulafa' Arrasyidin. Bentuk asal kubah dari dalam sudah tidak kelihatan lagi.
  • Kawasan lapang tidak berbumbung yang pada asalnya merupakan laman terbuka tanpa lantai telah diratakan dan disudahi dengan lantai jubin sebagai ruang solat tambahan.
  • Bangunan utama masjid yang berkubah dikelilingi oleh dinding tinggi bertingkap jeriji. Di setiap sudut terdapat menara yang sederhana tingginya. Di tengah dinding bahagian hadapan masjid pula dibina menara azan bersegi delapan yang mempunyai dua aras tinjauan, berkubah keemasan di puncaknya. Keseluruhannya ibarat kubu kota pertahanan yang mengelilingi sebuah istana raja.

0 comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...