Sunday, December 19, 2010

Bercumbu bawah Jambatan Banting


Disebalik keindahan: Pihak berkuasa diminta mempertingkatkan rondaan di bawah jambatan ini


BANTING: Tempat awam seperti laluan pejalan kaki atau taman rekreasi disediakan bagi memberi keselesaan kepada orang ramai, tetapi ia akan menimbulkan perasaan kurang senang jika lokasi terbabit menjadi tempat perlakuan tidak bermoral dan lucah.

Keadaan ini berlaku di taman berdekatan laluan pusingan U di bawah Jambatan Banting di sini yang sepatutnya menjadi tempat riadah yang selesa kerana terletak di tebing Sungai Langat, tetapi tercemar dengan tindakan pasangan memadu kasih tanpa segan silu pada waktu siang. Pengunjung taman itu, Noraini Maarof, 37, berkata tindakan anak muda berkelakuan tidak senonoh itu menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan orang ramai, malah perlakuan mereka di tempat awam tanpa malu walaupun secara terang-terangan sudah tertera larangan pada papan tanda di situ. Beliau berkata, tindakan itu jika dibiar berterusan boleh memberi pengaruh tidak baik kepada kanak-kanak yang beriadah di kawasan berkenaan.




"Saya malu melihat pasangan muda memadu kasih di kawasan ini tanpa memikirkan pengunjung yang datang berkeluarga membawa anak bermain di kawasan ini.

"Pihak berkuasa perlu tegas dan lebih kerap mengadakan rondaan bagi memastikan kawasan ini bebas daripada sebarang perbuatan maksiat dan pengunjung yang datang khasnya bersama keluarga lebih selesa bersiar-siar di sini," katanya.

Tinjauan Sentral mendapati, laluan di bawah Jambatan Banting itu agak terpencil menyebabkan ia dijadikan tempat pasangan kekasih bermesra.

Bagi Mohd Fazli Hashim, 26, kedudukan yang agak terlindung menyebabkan pasangan kekasih tanpa segan silu berpelukan dan menunjukkan aksi mesra mereka walaupun berada di khalayak ramai.

"Papan tanda larangan juga sudah memaklumkan dilarang berbuat demikian, tetapi mereka ini seakan tidak menghormati perasaan orang lain yang beriadah di sini.

"Setiap petang, pasti ada pasangan kekasih melakukan aksi tidak senonoh, menyebabkan pengunjung di sini berasa rimas untuk beriadah di sini,” katanya.

sumber: berita harian

Memang kalau sesiapa yang pernah lalu kawasan itu ia pasti bersetuju dengan saya bahawa kawasan itu memang agak terpencil yang memang memungkin aktiviti tidak senonoh akan berlaku. Diharap pihak berkuasa dapat lebih menekankan untuk membuat rondaan yang lebih kerap, sebelum kawasan itu menjadi tempat yang tidak sepatutnya berkemungkinan boleh menjadi tempat berlaku kes jenayah. Al-maklumlah kalau kawasan sudah macam tu, bergelap sahaja. Mungkin dengan cara memasang lampu supaya kawasan itu lebih terang boleh mengelakkan dari tempat itu dijadikan tempat maksiat.

Jadi biar beringat awal, sebelum berlaku! Sudah berlaku baru nak ambil tindakan tak guna sesen pun.

0 comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...